Setiap manusia pasti
melakukan dosa apatah lagi remaja yang baru mengenal kehidupan. Aku juga remaja
dan aku juga tidak terlepas dari melakukan dosa, pasti banyak dosa-dosa yang
aku tidak sedari. Aku juga masih mentah untuk menghadapi dunia sebenar yang penuh
dengan fatamorgana dan godaan syaitan yang meragut jiwa.
Setiap doa di dalam
solat, seringkali aku berdoa agar diriku ini dijauhkan dari kemungkaran yang
merosak akhlak dan jiwa. Aku sedar yang aku bukanlah remaja yang hebat, pandai,
dan mendapat A dalam semua subjek. Aku hanyalah remaja biasa yang hanya belajar
di sekolah biasa dan bergaul dengan rakan-rakan biasa.
Tetapi, aku berharap
yang aku diberi laluan untuk menghadapi kehidupan yang lebih baik dengan
bersekolah di sekolah agama dan berkawan dengan rakan-rakan yang luar biasa.
Bukan aku tidak bersyukur dengan kehidupan yang Allah SWT berikan. Fitrah
seorang manusia menginginkan kehidupan yang lebih baik.
Rakan-rakanku bukanlah
berpendidikan tinggi atau mempunyai keluarga yang sempurna. Aku juga sama. Aku
menulis artikel ini bukan untuk menunjuk atau meluahkan perasaan. Tetapi, Aku
ingin menumpukan bahawa singnifikannya harapan dalam diri manusia dan diri aku.
Di dalam hati, acapkali aku bertanya "Adakah diriku ini disayangi
Allah?". Setiap kali hatiku menanyakan soalan itu, air mataku deras
menitis. Aku mengaku yang diriku ini selalu kalah dengan godaan syaitan yang
durjana.
Di dalam solatku tidak
putus-putus aku berdoa agar aku diberi petunjuk di jalan yang benar.
Kadangkala, apabila aku ingin menjadi lebih baik, pasti akan dihujani dengan
dugaan yang menjerihkan jiwa.
"Ya Allah, Aku
amat menyayangimu. Aku memohon kepada mu Ya Allah, Kau tunjukkanlah jalan yang
lurus kepadaku."
Allah berfirman:
"(Mereka berdoa
dengan berkata): 'Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami
sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah
rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah
pemberianNya"
(Surah ali-Imran ayat
8)
FirmanNya lagi:
"Rasulullah telah
beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, dan juga
orang-orang yang beriman; semuanya beriman kepada Allah, dan
Malaikat-malaikatNya, dan Kitab-kitabNya, dan Rasul-rasulNya. (Mereka berkata):
'Kami tidak membezakan antara seorang dengan yang lain Rasul-rasulnya'. Mereka
berkata lagi: Kami dengar dan kami taat (kami pohonkan) keampunanMu wahai Tuhan
kami, dan kepadaMu jualah tempat kembali'"
(Surah al-Baqarah ayat
285)
Allah berfirman lagi;
"Allah tidak
memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala
kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang
diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): 'Wahai Tuhan kami! Janganlah
Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan
kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana
yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami.
Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya
memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan
berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami
untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir'"
(Surah al-Baqarah ayat
286)
Allahuakbar, Allah Maha
Besar. Sungguh ayat-ayatNya memberikan aku semangat. Kini, aku yakini walau pun
tidak berpeluang untuk belajar di sekolah yang ku inginkan, namun aku percaya
ilmu Allah itu Maha Luas. Di bumi Allah itu semuanya penuh dengan didikan hatta
ujian itu juga adalah didikan jiwa yang boleh mendekatkan diri pada Allah.
Aku percaya, bukan
kerana dari mana kita bergraduasi.. Bukan bidang agama yang menentukan kita
orang yang beragama tetapi sejauh mana kita mengamalkan apa jua yang kita pelajari.
Samaada ilmu dunia atau ukhrawi, selagi mana ianya dihadam untuk tujuan
akhirat, maka ianya akan memberi kebaikan kepada orang tersebut.
Moga kita semua
mendapat iktibar. Insyaallah.
"Maka bersabarlah
engkau (Muhammad) ata apa yang mereka katakan. Dan bertasbihlah dengan memuji
Tuhanmu sebelum matahari terbit dan sebelum terbena, dan bertasbihlah (pula)
pada waktu tengah malam dan di ujung siang hari, agar engkau merasa
tenang"
(Surah Taha ayat 130)
- Artikel iluvislam.com
No comments:
Post a Comment